Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan Long Gafar (SMKLG) telah ditubuhkan
seawal bulan Januari 2008 dan memulakan operasi sepenuhnya pada hujung bulan
Januari tahun 2008. Program ini ditubuhkan kerana menyedari betapa perlunya
peluang pendidikan bagi pelajar-pelajar yang bekeperluan khas di kawasan
bermula daripada Padang Kala ke Pasir Tumboh. Oleh kerana Program Integrasi di
Sekolah Rendah telah diadakan di Sekolah Padang Kala, maka perlu ada
kesinambungan di mana pelajar bekeperluan khas ini dapat menyambung pelajaran
mereka ke aras yang lebih tinggi sedikit. Oleh sebab itulah Program Integrasi
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Long
Gafar ini ditubuhkan.
Pada peringkat awal penubuhan, bangunan yang diberikan
untuk dijadikan kelas amatlah memerlukan penambahbaikkan yang sangat intensif.
Tetapi dengan kerjasama dari tiga orang guru iaitu Pn. Syarniza Bt Khalid, Pn
Norhasliza Bt Yaakob dan Pn Ros Azirai Bt Muhammad yang baru ditempatkan di
program Integrasi ini bersama dengan bantuan daripada barisan pihak pentadbir
maka kelas tersebut telah berjaya dibaik pulih sedikit demi sedikit.
Bilangan para pelajar yang mendaftar masuk program
integrasi pada tahun 2008 ini ialah seramai 8 orang iaitu 4 pelajar lelaki dan
4 pelajar perempuan. Ini mungkin kerana masyarakat belum lagi mengetahui
kewujudan program integrasi ini dan kesedaran bahawa kesamarataan hak
pendidikan bagi orang kurang upaya masih tidak di ambil berat.
Pada Disember 2008, Jabatan pelajaran Negeri Kelantan
telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 60 000 untuk menambahbaik kelas
Pendidikan Khas supaya menjadi lebih selesa dan menepati spesifikasi kelas
Pendidikan Khas yang sebenarnya. Antara penambahbaikkan yang dilakukan adalah
membina tandas lelaki dan perempuan serta bilik mandi di dalam kelas, memasang
tingkap bercermin gelap, memasang tile pada lantai dan mengecat dinding dengan
warna yang lebih ceria. Walaubagaimanapun perubahan ini tidak dapat dilihat
oleh Pn Syarniza bt Khalid iaitu penyelaras Program Integrasi ini kerana
bertukar mengikut suaminya ke Port Dickson.
Sebelum Pn Syarniza bertukar, seorang guru baru yang
ditempatkan buat kali pertama , Pn Juhairah Juzaillah Bt Abdullah iaitu graduan
daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkelulusan sarjana Muda
Pendidikan Awal Kanak-kanak Dengan Kepujian telah melaporkan diri. Selepas
melaporkan diri, Pn Juhairah turut menyumbangkan tenaga dan hasil kerja untuk
menyusun kelas dan menceriakan kelas yang baru siap penambahbaikkan pada akhir
bulan Disember.
Pada awal bulan Januari 2009, Pn Norhasliza telah
dilantik menjadi Penyelaras program mengantikan Pn Syarniza yang bertukar.
Beliau bersama Pn Ros Azirai dan Pn Juhairah bekerjasama menguruskan program
yang baru setahun jagung dibuka dengan masih lagi mendapat bimbingan daripada
pihak pentadbir terutamanya daripada Tuan Pengetua iaitu Hj Mohamad Bin Yang.
Pelajar yang mendaftar pada tahun ini bertambah daripada
8 orang menjadikan 23 orang iaitu 12 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan.
Faktor penambahan adalah kerana Program Integrasi Pendidikan Khas di SMKLG
merupakan saluran bagi Program Integrasi Pendidikan Khas di SK Kubang Kerian
untuk pelajar kurang upaya ini menyambung pendidikan mereka.
Pada tahun 2010 pula, pelbagai perubahan telah berlaku
untuk mengukuhkan lagi Organisasi kelas Pendidikan Khas di mana Puan Juhairah
Juzaillah Bt Abdullah telah dilantik sebagai Penyelaras kelas Pendidikan Khas
bagi menggantikan Pn Norhasliza yang bertukar ke Kuala Lumpur. Pada awal tahun
2010 Tiga orang guru baru juga telah ditempatkan di kelas ini bagi menampung
bilangan pelajar yang makin bertambah. Guru-guru tersebut adalah Pn Wan Maizura
Bt Wan Mansor, penempatan kali pertama, En . Nor Hafiz b. Husain dari SMK
Pemanis Johor dan Pn. Wan Sakinah Bt Wan Mamat dari SMK Panji. Pada bulan 6
tahun 2010 pula, seorang lagi guru ditempatkan di kelas ini iaitu Pn. Yusniwati
Bt Yusof .Di harap dengan bertambahnya bilangan guru Program Pendidikan Khas
SMK Long Gafar akan lebih mantap sama ada dari segi pengurusan mahupun kualiti
P&P yang diberikan. Begitu juga dengan bilangan murid yang semakin
bertambah iaitu daripada 23 orang tahun lepas , bertambah seramai 7 orang murid
menjadikan seramai 29 orang kesemuanya. Ianya terdiri daripada 16 murid lelaki
dan 14 orang murid perempuan.
Pada tahun 2011, Program ini terus berkembang dimana
bilangan murid semakin bertambah. Pertambahan murid yang berlaku adalah seramai
9 orang terdiri daripada 3 lelaki dan 6 perempuan menjadikan jumlah murid
pendidikan khas seramai 38 orang semuanya. Walaubagaimanapun tiada pertambahan
guru berlaku. Hanya seorang Pembantu Pengurusan Murid yang ditempatkan di
Program ini pada tahun ini.
Tahun 2012 bermula dengan pendaftaran murid yang begitu
pesat sekali. Pertambahan murid pada tahun ini adalah seramai 12 orang. Ini
menjadikan murid murid PPKI (BP) SMK
Long Gafar pada tahun ini ialah seramai 50 orang iaitu 24 orang murid lelaki
dan 26 murid perempuan. Walaubagaimanapun tiada pertambahan guru dan Pembantu
Pengurusan Murid berlaku pada tahun ini. Ianya menyebabkan berlakunya kepadatan
di dalam kelas dan kekurangan tenaga pengajar mengikut nisbah bilangan murid.
Tetapi ianya bukan alasan kepada kami untuk terus memberikan pendidikan yang
terbaik untuk murid-murid kurang upaya ini.
Pada tahun ini juga kami menempatkan seramai 7 orang
murid Pendidikan Khas secara inklusif di kelas aliran perdana. Ini adalah
kerana saranan daripada pihak pentadbir, mana-mana murid yang ingin mengambil
peperiksaan PMR ataupun SPM dikehendaki memasuki dan belajar di kelas aliran
perdana supaya mereka boleh diajar matapelajaran peperiksaan. Seramai 1 orang
di tingkatan 5, 3 orang ditempatkan di tingkatan 4 dan 3 orang ditempatkan di
tingkatan 3.
Kini Program Integrasi ini semakin dikenali oleh
masyarakat setempat. Diharap dengan
adanya Program ini memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak
kesamarataan pendidikan bagi orang kurang upaya. Dalam masa 4 tahun setengah
penubuhan Program ini di SMKLG, kini
kami pihak guru Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran dan
juga para pentadbir berbangga dengan apa yang kami sediakan untuk pelanggan
kami iaitu pelajar-pelajar kurang upaya dengan pelbagai ketidakupayaan ini.
No comments:
Post a Comment